Skip to main content
search

Nama saya Aldimar dan berasal dari Semporna, Sabah. Saya merupakan pelajar tingkatan lima dan bakal menduduki peperiksaan yang penting iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hari ini saya akan membicarakan satu tajuk yang penting iaitu Pendidikan dari Kanta Mata Pelajar. Berdasarkan tajuk ini, sudah pasti anda semua tahu, saya akan mengupas aspek pendidikan dari aspek sudut pemikiran remaja yang bergelar pelajar.

Kita semua tahu, pendidikan bermula dari rumah dan ibu bapa merupakan guru pertama anak-anak. Selepas itu, pelajar akan mengikuti pembelajaran formal di sekolah iaitu dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Di sekolah, para pelajar mula mempelajari subjek-subjek tertentu sama ada mereka minat atau tidak. Maka, di sinilah kemampuan pelajar diuji. Mereka akan menduduki ujian dan peperiksaan sama ada dalaman atau awam. Keputusan peperiksaan akan menentukan pencapaian akademik seseorang.

Seterusnya, sebagai seorang pelajar saya mengetahui terdapat beberapa jenis sekolah. Saya belajar di sekolah harian biasa. Terdapat rakan saya yang belajar di sekolah asrama sama ada Maktab Rendah Sains Mara, sekolah berasrama penuh, sekolah sains dan sebagainya. Bagi saya, setiap sekolah ini berbeza. Sebagai contoh, infrastruktur yang disediakan di sekolah- sekolah tersebut. Saya berpendapat, infrastruktur yang baik akan memberi keselesaan kepada pelajar dan menjadi pemangkin kejayaan mereka. Tidak dapat dinafikan, sekolah saya dan sekolah berasrama tidak sama dari aspek infrastruktur. Sebagai contoh, kerusi meja pelajar, komputer, tandas, kantin dan lain-lain. Saya harap, kami di sekolah biasa akan menikmati infrastruktur sekolah yang lengkap dan baik.

Seterusnya, dari kanta mata saya sebagai pelajar, pendidikan merupakan alat yang paling penting dalam membentuk peribadi seseorang pelajar. Di sini, saya akan menyentuh tentang disiplin masa. Pelajar perlu mematuhi masa kerana mereka akan belajar mengikut waktu yang dijadualkan. Pihak sekolah menghadapi masalah pelajar yang sering lewat. Apabila mereka lewat hadir ke sekolah, mereka akan ketinggalan subjek yang diajar. Para pelajar perlu bijak mengurus masa mereka agar mereka tidak menjadi orang yang rugi. Mereka perlu menyedari bahawa, masa itu emas dan tidak boleh dipersia-siakan. Selain itu, pendidikan juga akan melatih pelajar menjadi seorang yang berakhlak mulia kerana perbuatan-perbuatan negatif seperti merokok, ponteng sekolah dan bergaduh akan diambil tindakan oleh badan disiplin dan kaunseling. Di sekolah juga, menjadi medan latihan kepada murid-murid dari segi kepimpinan kerana mereka akan menjadi ketua kelas, pengawas atau pembimbing rakan sebaya yang sudah pasti membentuk peribadi unggul dalam diri pelajar.

Tidak dapat dinafikan, guru-guru sebagai merupakan peyampai ilmu pengetahuan akan memberikan kerja rumah atau latihan kepada pelajar. Dari kanta mata pelajar yang positif mereka menjadikan latihan tersebut sebagai medan untuk penambahbaikan diri mereka. Namun demikian, terdapat pelajar yang merungut kerana rasa terbeban dengan kerja rumah tersebut. Kesannya, ada murid yang menangguhkan kerja malahan ada juga yang mengabaikannya. Hal ini akan menimbulkan masalah kepada pelajar dan guru. Masalah ini perlu diselesaikan dengan bijak.

Dari kanta mata seorang pelajar juga, para guru perlu kreatif dalam corak penyampaian mereka. Guru-guru perlu menerapkan cara Pembelajaran Abad ke-21 seperti ‘Gallery Walk’ agar dapat menarik minat pelajar untuk terlibat dalam pembelajaran mereka. Selain itu, guru mesti menjalinkan hubungan baik dengan pelajar. Tidak salah jika guru dapat menjadikan pelajar mereka ibarat kawan agar pelajar lebih menghargai guru dan mudah bekerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran.

Konklusinya, pendidikan memain peranan penting untuk mencapai hidup yang berkualiti kerana pendidikan merupakan antara petunjuk terpenting dalam kualiti hidup manusia. Pendidikan mempunyai hubungan rapat dengan ilmu, dan ilmu dikenalpasti sebagai faktor ‘hasil’. Pendidikan membantu individu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada dipersekitarannya, serta memahami diri sendiri. Pendidikan juga bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri, dan kestabilan hubungan sosial. Individu yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi cenderung untuk mengalami gangguan emosi dan tekanan fizikal yang rendah. Taraf pendidikan yang baik memberikan seseorang individu itu laluan ke arah pembangunan diri, bergantung bagaimana ilmu tersebut distruktur dan dilaburkan dalam pendidikan.Justeru itu, untuk mencapai kecemerlangan kualiti hidup melalui pendidikan, perhatian awal harus tertumpu kepada kanak-kanak.Kanak-kanak adalah khazanah dunia yang paling berharga kerana pendidikan terawal bermula dari zaman kanak-kanak.

Written by:

Aldimar

Dalam episod 2 Pakale Kam Suara Anak Semporna, Aldimar, seorang pelajar dari Semporna, berkongsi pendapatnya tentang pendidikan. 

Close Menu