Program Duta Guru FAQ

Find out answers to frequently asked questions about the Program Duta Guru.

Tentang Program 

Bolehkah aktiviti Program Duta Guru disertakan ke dalam Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKM)?

Ya, latihan bagi Program Duta Guru boleh disertakan di dalam SPLKPM yang akan dimasukkan oleh para peserta sendiri atau melalui pautan/kod QR yang akan dikongsikan oleh pihak Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP).

Adakah sijil penyertaan akan diberi?

Ya, sijil penyertaan akan diberi pada akhir perjalanan program sekiranya para peserta memenuhi semua syarat kelayakan sebagai Duta Guru.

Adakah pencerapan tambahan akan dilaksanakan?

Setiap peserta akan melakukan dua (2) pemerhatian kelas setiap tahun bersama peserta lain di daerah yang sama atau berhampiran. Pemerhatian ini adalah sebahagian daripada tugasan program untuk menggalakkan peserta mengaplikasikan pembelajaran dalam bilik darjah mereka.

 

Adakah Peserta perlu menyediakan laporan berkala untuk pihak-pihak tertentu?

Perincian tugasan program akan dimaklumkan semasa Kitaran Pembelajaran 1.

 

Bagaimanakah Peserta akan dinilai sepanjang program?

Perincian penilaian program akan dimaklumkan semasa Kitaran Pembelajaran 1. Beberapa penanda kejayaan program boleh merangkumi, namun tidak terhad kepada yang berikut:

  • Peningkatan tahap kompetensi dalam Kerangka Duta Guru yang telah dirangka berdasarkan SKPM Kualiti@Sekolah
  • Bilangan bimbingan antara Peserta dan Rakan Guru yang juga merupakan peserta di daerah yang sama atau berhampiran (secara bersemuka, telefon, atau secara maya)
  • Perubahan skor dalam penilaian kendiri para guru berdasarkan kaji selidik bagi komponen program yang berlainan
  • Peningkatan tahap motivasi dan komitmen para guru berdasarkan maklum balas kaji selidik
  • Tahap kepuasan Peserta terhadap sesi kursus, latihan dan mesyuarat PLC yang dijalankan

Adakah penilaian program ini akan mempengaruhi prestasi saya di sekolah untuk kenaikan pangkat?

Penilaian program ini tidak akan mempengaruhi prestasi atau kenaikan pangkat secara langsung. Namun begitu, program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kecekapan guru sekaligus meningkatkan peluang guru untuk mendapatkan kenaikan pangkat berdasarkan prestasi.

Bolehkah saya memohon sekiranya saya mengajar kelas menengah atas (i.e. Tingkatan 4 dan Tingkatan 5)?

Ya. Permohonan Program Duta Guru kini juga dibuka kepada guru-guru yang mengajar subjek STEM dan/atau Geografi menengah atas. Namun, guru-guru menengah atas perlu memastikan mereka dapat memberi komitmen yang penuh serta sokongan pengetua semasa program dijalankan.

Bolehkah Peserta menukar mata pelajaran yang diajar?

Ya, asalkan Peserta mengekalkan kelayakan mereka bagi menyertai PDG – mengajar sekurang-kurangnya satu subjek STEM dan/atau Geografi.

Adakah Peserta Program Duta Guru perlu mengajar murid/kelas yang sama sepanjang tempoh program?

Tidak. Peserta dibenarkan mengajar murid/kelas yang berbeza, asalkan mereka mengajar sekurang-kurangnya satu mata pelajaran STEM dan/atau Geografi.

Adakah Pengetua akan dimaklumkan tentang Program Duta Guru?

Ya. Pihak BPPDP akan memberikan butiran yang diperlukan kepada sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) agar Peserta dapat menghadiri sesi latihan dan kursus. Peserta juga digalakkan untuk memaklumkan kepada Pengetua berkenaan penyertaan mereka bersama PDG lebih awal agar pihak pentadbir lebih bersedia dengan keutamaan Peserta bersama sesi latihan. 

Adakah pihak pengurusan Program Duta Guru akan menyediakan dana untuk perkembangan STEM dalam sebarang bentuk di sekolah Peserta?

Tidak. Fokus program adalah untuk meningkatkan tahap kemahiran para guru STEM melalui tiga strategi keutamaan; kursus, latihan dan kandungan. 

Bagaimanakah jaringan kerjasama dan perkongsian antara Peserta akan dilaksanakan - mengikut subjek atau secara umum?

Peserta Program Duta Guru akan dibahagikan mengikut zon negeri masing-masing. Dalam setiap zon, akan terdapat guru yang mengajar pelbagai subjek berkaitan dengan STEM. Pada masa yang sama, peserta boleh mengadakan perbincangan mengikut subjek di Google Classroom. 

Adakah terdapat ruang untuk bertanya/berbincang walaupun telah selesai mengikuti sesuatu topik atau dalam tempoh menyiapkan tugasan?

Ya, peserta boleh teruskan perbincangan dengan peserta lain dan pasukan pelaksana Program Duta Guru di Google Classroom dan Telegram.

Bagaimanakah sesi kursus dan latihan akan dijalankan - di peringkat sekolah, zon, atau kebangsaan?

Sesi kursus dan latihan akan dijalankan di semua peringkat  zon, dan kebangsaan. 

Adakah kursus akan dijalankan berdasarkan zon lokasi Peserta atau mata pelajaran STEM?

Kursus akan merangkumi peringkat kebangsaan dan zon. Kemungkinan akan terdapat sesi tambahan yang dijalankan berdasarkan mata pelajaran STEM tertentu yang boleh menjadi peluang tambahan, tetapi tidak wajib untuk dihadiri oleh Peserta.

Dimanakah kursus akan diadakan sepanjang tempoh program?

  1. Kursus Secara Bersemuka
  • Zon – akan diadakan di lokasi yang mudah diakses oleh Peserta dari zon yang sama atau zon berdekatan.
  • Kebangsaan – akan diadakan di lokasi pusat yang mudah diakses oleh Peserta dari seluruh negara.
  • Maklumat lanjut tentang logistik akan dimaklumkan sebelum tarikh latihan.

 

  1. Kursus Secara Maya
  • Peserta boleh menghadiri kursus secara maya melalui platform atas talian seperti Zoom, Google Meet, Microsoft Teams, Facebook Live, etc.
  • Peserta akan memerlukan sebuah komputer riba/komputer dan sambungan internet yang stabil untuk mengakses sesi kursus secara maya.

Bolehkah Peserta memohon tuntutan perjalanan setiap kali mereka menghadiri kursus?

Ya, Peserta boleh menuntut perbelanjaan mereka berdasarkan terma dan syarat yang digariskan di dalam Panduan Tuntutan Perjalanan.Satu panduan untuk proses tuntutan yang telah dikemaskini akan diedarkan sebelum tarikh kursus. Tuntutan pula hanya boleh dibuat selepas tamat sesi kursus. 

Apakah bentuk bimbingan dan sokongan yang akan diterima oleh para peserta sepanjang dua tahun program?

Setiap peserta akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Bimbingan Rakan Guru, yang terdiri daripada peserta program di daerah yang sama atau daerah berhampiran untuk mendapatkan sokongan rakan guru. Di Peringkat Daerah, sokongan yang sesuai akan diberikan boleh Pembimbing PDG (yang terdiri daripada SISC+) mengikut keperluan peserta.

Bilakah perjalanan peserta yang menerima tawaran untuk Kohort 6 ini akan bermula?

Calon yang menerima tawaran untuk menyertai Kohort 6 akan mula menyertai sesi latihan seawalnya pada Januari 2025.

Isu Berkaitan Program

Apa yang akan berlaku jika Peserta mengandung atau bersalin dalam tempoh program dua tahun?

Peserta akan dikehendaki melakukan tugasan ganti sekiranya tidak dapat hadir mana-mana aktiviti program. Berikut adalah perihal dan situasi di mana permohonan cuti atau ketidakhadiran dibenarkan, tertakluk kepada kelulusan daripada Pasukan Program. Walaubagaimanapun, cuti ketidakhadiran tidak boleh menyebabkan Peserta ketinggalan lebih 20% daripada program.

  • Cuti bersalin
  • Sakit berpanjangan
  • Menjaga atau mengurus tanggungan
  • Umrah/ Haji

Apakah yang akan berlaku jika Peserta bercadang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana/PhD dalam tempoh program?

Mereka yang masih berminat untuk menyertai program tetapi tidak dapat dapat memenuhi syarat kelayakan minimum untuk mencapai status Duta Guru akan ditunda ke kohort yang akan datang sejurus menamatkan pengajian mereka. Keputusan ini juga tertakluk kepada perbincangan dan kata putus pihak jawatankuasa kerja PDG. 

Bolehkah Peserta menarik diri kerana beban kerja yang terlalu berat atau kenaikan pangkat ketika dalam tempoh dua tahun?

Sekiranya Peserta merasa keberatan kerana tugasan yang lain di sekolah, Peserta amat digalakkan untuk memohon sokongan daripada Pembimbing Duta Guru atau Pasukan Program untuk menyelesaikan isu tersebut. Jika Peserta masih ingin menarik diri setelah mencuba sedaya upaya dengan semua saluran sokongan yang ada, Peserta boleh berbuat demikian dengan memaklumkan Pasukan Program. Dua dokumen yang perlu diserahkan ke Pasukan Program adalah:

  • Surat Tunjuk Sebab yang menjelaskan keputusan untuk tarik diri dari Program dan ditandatangan oleh Pengetua atau Penolong Kanan
  • Ulasan Pengetua yang menjelaskan perbincangan bersama Peserta dan sokongan daripada Pengetua tentang keputusan Peserta 

Manakala, Peserta yang telah dinaikkan pangkat akan menyebabkan Peserta tidak lagi mengajar mata pelajaran STEM di sekolah, Peserta boleh menarik diri kerana kandungan program mungkin sudah tidak lagi relevan bagi Peserta. Walaubagaimanapun, Peserta amat digalakkan untuk meneruskan program sekiranya perubahan berlaku pada tahun kedua program. Dua dokumen yang dinyatakan di atas juga perlu diserahkan ke Pasukan Program.

Keputusan bagi penarikan diri ini tertakluk kepada perbincangan dan kata putus pihak jawatankuasa PDG. 

Apakah yang akan berlaku apabila Peserta bertukar ke sekolah yang baru?

Peserta sangat digalakkan untuk kekal di sekolah yang sama sepanjang program. Walaubagaimanapun, Jawatankuasa Kerja Program Duta Guru menyedari keperluan bagi sesetengah Peserta untuk pindah ke sekolah yang baru, sama ada di dalam atau di luar daerah, dalam tempoh program sepanjang dua tahun. Kemudahan dan fleksibiliti diberikan kepada Peserta untuk kekal di dalam program selagi syarat-syarat di bawah dipenuhi:

  • Syarat kelayakan bagi Peserta kekal sah di sekolah baru.
  • Peserta mendapat kelulusan Pengetua dan Penolong Kanan dari sekolah baru.
  • Peserta akan mengajar sekurang-kurangnya satu mata pelajaran STEM dan/atau Geografi di sekolah baru.

Bolehkah Peserta dikecualikan daripada aktiviti Program Duta Guru jika mereka mempunyai banyak tugasan dan kerja yang lain?

Peserta Program Duta Guru dikehendaki untuk menghadiri semua acara wajib yang dianjurkan oleh Pasukan Program. Peserta dikehendaki melakukan tugasan ganti sekiranya tidak dapat hadir mana-mana aktiviti wajib program. Peserta mesti mengekalkan kehadiran minimum sekurang-kurangnya 80% dalam semua acara wajib untuk layak mencapai status Duta Guru. Peserta yang tidak dapat memberikan komitmen kepada program selama 2 tahun walaupun mempunyai komitmen yang banyak tidak digalakkan untuk menyertai program

Apa yang akan berlaku jika Peserta tidak dapat menghadiri sebarang sesi kursus dan latihan?

Jika Peserta tidak dapat mencapai peratus kehadiran yang dinyatakan iaitu sekurang-kurangnya 80% daripada semua acara wajib, mereka tidak dapat memenuhi syarat minimum untuk mencapai status Duta Guru.

Apa yang perlu Peserta lakukan jika Pengetua tidak menyokong penglibatan mereka dalam program ini?

Sila kemukakan perkara ini kepada PPDG atau Pasukan Program untuk perbincangan lebih lanjut dan menentukan langkah seterusnya yang wajar.

Bilakah tarikh tutup permohonan PDG Kohort 6?

Permohonan akan ditutup pada 18 Ogos 2024 (Ahad), 11:59 malam.

Berapa lamakah masa yang akan diambil sehingga saya mendapat tahu keputusan permohonan?

Permohonan akan dinilai selepas tarikh tutup permohonan. Sila berikan masa lebih kurang 3-4 bulan untuk mendapat maklum balas tentang permohonan anda. 

Need More Help?

Contact us through our Telegram group here with any questions you may have.

Contact Us

Learn More About Our Work

We invite everyone who is passionate about education to join our national community of leaders. 

Stay Connected

Teach For Malaysia is committed to our mission. Sign up for our email newsletter to learn how you can get involved.