“Ramai yang bercakap mengenai kepincangan pendidikan di negara ini tetapi saya tidak nampak satu perlaksanaan bagi menangani isu ini secara berkesan. Ramai yang hanya menunding jari sana sini tetapi tidak ada siapa yang sanggup benar-benar turun padang untuk menangani isu ini.
Bagaimana anda rasa jika ada sekumpulan orang yang sudi mengorbankan masa mereka untuk membantu meningkatkan taraf pendidikan seseorang individu itu? Itulah yang saya jumpa dalam ‘Teach For Malaysia’ (TFM). Berbekalkan misi mereka yang berbunyi ‘One day, all children in Malaysia will have the opportunity to attain an excellent education’, saya nampak mereka mempunyai satu pelan tindak yang cukup strategik tetapi praktikal bagi menangani isu diatas.
Itu sebab saya lihat ramai individu dan organisasi yang bukan calang-calang pencapaian mereka sudi untuk turut serta berganding bahu bagi merealisasi hasrat misi TFM ini.
Pertama kali saya didedahkan dengan idea TFM ini, saya sememangnya excited dengan idea ini. Bila anak sulung saya, Yang Safia mengutarakan keinginan beliau untuk menyertai TFM ini, saya tanpa teragak-agak menyetujuinya. Malah dalam diam-diam saya harap, satu masa nanti, anak-anak saya yang lain juga turut berpeluang untuk menyertai TFM ini.
Secara peribadi, saya lihat TFM menyediakan satu landasan bagi membina kepimpinan dalam diri sendiri. Secara logiknya, kepimpinan dapat kita bina dengan jayanya sekiranya kita mampu mendedahkan seseorang individu itu dalam berusaha untuk mempengaruhi sekumpulan orang untuk mencapai sesuatu hajat dalam hidup mereka. Mana keadaan yang lebih mencabar dari melaksanakan ini semua jika bukan dalam suasana masakini sekolah-sekolah di Malaysia?”